” Muka aku dah cantik, flawless dan glowing. Tapi bila nak sapu lisptick, lipstick macam tak nak lekat, aku dah cuba macam-macam lipbalm, lipstick pun dah tukar banyak kali.

Kenapa ek bibir aku kering macam ni?”

Adakah ini anda? Soalan ini mungkin pernah anda fikirkan. Ok lagi kalau setakat kering, boleh juga sapu lipbalm sekali sekala.

Tapi ada juga sesetengah orang yang mengalami pengelupasan kulit bibir sehingga terasa sakit. Dah pakai macam-macam produk pun bibir tetap kering.

Hmm.. Apakah puncanya???

Hi semua! Apa khabar hari ni? Harap semuanya sihat-sihat sahaja ya.

Blog post ni dah lama, tapi sebab ramai yang baca post ni, saya nak update sedikit dengan info-info yang lebih menarik dan terbaru.

Jadi jom kita lihat 8 Punca Bibir Kering Dan Mengelupas.

Punca Bibir Kering Dan Mengelupas

Sebenarnya ramai orang mengalami masalah bibir kering ni. Tetapi sesetengah orang boleh mengalami kekeringan bibir yang berpanjangan dan menyakitkan.

Anda biasanya boleh merawat bibir kering dengan rawatan sederhana dan atau boleh mengambil sebarang langkah pencegahan yang sesuai.

Tetapi jika bibir anda terus terasa kering dan mengelupas, anda harus merawat bibir anda dengan segera.

 

Bibir tidak mengandungi kelenjar minyak seperti bahagian kulit yang lain. Jadi bibir tidak dapat menghasilkan minyak sendiri seperti pada kulit wajah.

Ini bermakna bibir lebih mudah terdedah kepada kekeringan.

Selain itu, struktur kulit bibir adalah nipis dari kulit lain, maka ia mudah terdedah kepada kekeringan dan pengelupasan.

Jika anda mengalami masalah bibir kering, ini adalah post lain yang berkaitan:

8 Punca Bibir Kering Dan Mengelupas

1) Cuaca – Perubahan cuaca yang tidak menentu boleh menjadi salah satu punca bibir kering.

Kekurangan kelembapan di udara dapat membuat masalah lebih buruk.

Cuaca yang terlalu panas atau sejuk atau anda mungkin bekerja di bilik yang berpenghawa dingin menyebabkan tahap kelembapan udara berkurang.

Cuaca yang terlalu seperti ketika musim sejuk memburukkan keadaan bibir.

Mungkin kat Malaysia tak adalah ek musim sejuk, tapi kita kat Malaysia ni selalu pakai aircond sebab cuaca panas.

Tanpa kita sedari penggunaan aircond yang keterlaluan menyebabkan kulit menjadi kering. Ini seterusnya mempengaruhi bibir juga.

Bila udara terlalu lembap, masalah seperti pertumbuhan cendawan dan kulat pula meningkat.

Tapi bila cuaca sejuk, udara menjadi kering kerana ia kehilangan kemampuannya untuk mengekalkan kelembapan.

Udara yang kering akan menarik air dari persekitaran yang lembap. Ini termasuk anda, udara akan menarik air dari permukaan kulit menyebabkannya kulit dan bibir menjadi kering.

punca bibir kering

 

2) Kurang minum air / Penghidratan – Bagi anda yang sering membaca blog ini, anda akan melihat terlalu banyak tips minum air ni dalam banyak blog post lain.

Ya, mungkin juga anda dah banyak kali mendengar pasal minum banyak air. Ini menunjukkan betapa pentingnya minum air kepada kesihatan badan secara keseluruhannya termasuk bibir.

Cukupkah air yang anda minum? Paling baik biasakan diri anda untuk meminum 8-12 gelas sehari.

Jika anda kurang minum air, ini mungkin menyebabkan kenapa bibir anda sentiasa kering.

Air yang dimasukkan disini adalah air kosong ye, bukan berkarbonat, alkohol, air kopi atau air sirap ye.

Anda boleh meningkatkan tahap pengambilan buah dan sayuran untuk mengelakkan tubuh anda terhidrat dengan lebih teruk.

Macamana kopi dan minuman lain menyebabkan kulit dan bibir kering? Dalam tu kan ada air juga?

Okay, macam ni, minuman tertentu boleh mengeringkan bibir dan kulit anda, menyebabkan tompok-tompok kering atau dry patches pada kulit.

Dua penyebab utama ialah minuman beralkohol dan berkafein, seperti soda, kopi dan bir.

Semua muniman ini menyebabkan kulit dan bibir kering kerana ia bersifat diuretik, yang menyebabkan anda kerap membuang air kecil dan ini seterusnya menyebabkan badan anda kekurangan air.

Anda mungkin berfikir bahawa kerana anda minum banyak air kosong, tidak apa-apa untuk menikmati minuman diuretik sepanjang hari.

Tetapi pemikiran seperti ini boleh menyebabkan pelbagai masalah, salah satunya adalah kulit dan bibir kering.

Walaupun anda kekal terhidrat, kafein dan alkohol akan menyerap air daripada anda, menyebabkan dehidrasi dan masalah lain.

Anda boleh menikmati soda atau alkohol sekali-sekala.

Tetapi mengehadkan dua perkara ini boleh menjadi perbezaan yang diperlukan oleh kulit dan bibir anda untuk menjadi lebih sihat.

Ramai orang tidak menikmati rasa air biasa, yang seterusnya mendorong mereka untuk minum lebih banyak soda atau kopi sepanjang hari.

Sekiranya anda menikmati rasa manis soda di atas air, cubalah menambahkan perahan lemon atau kapur ke air untuk mendapatkan kesan yang sama.

Anda juga dapat menambahkan buah ke dalam kendi air untuk penambah rasa semula jadi dan kesihatan.

 

3) Bernafas melalui mulut – Biasanya kita bernafas menggunakan hidung. Tapi sesetengah orang kadang-kadang bernafas melalui mulut tanpa disedari.

Jika anda selsema dan hidung anda tersumbat secara automatik anda akan bernafas melalui mulut. Mulut yang terdedah kepada laluan udara keluar masuk menyebabkan ia lebih mudah kering.

Hidung mempunyai bulu-bulu kecil yang menapis udara masuk ke dalam paru-paru.

Bila anda bernafas melalui mulut, udara akan masuk ke dalam paru-paru melalui mulut dan mengeringkan bibir dan air liur.

Ia bukan sahaja mengeringkan bibir anda malah anda akan menerima udara yang tidak ditapis dan kotor.

Ini mungkin menyebabkan masalah lain seperti masalah respiratori dan alergi.

4) Kekurangan / Berlebihan vitamin atau mineral -Vitamin B merangkumi tiamin, niasin, biotin, asid folik, dan riboflavin.

Ini adalah vitamin larut air yang berperanan dalam metabolisme, membekalkan tenaga, dan membantu tubuh anda melawan penyakit.

Bibir yang mengelupas dan terlalu kering adalah gejala kekurangan vitamin B terutama pada folat (vitamin B9), riboflavin (vitamin B2), dan vitamin B6 dan B12.

Oleh kerana vitamin B juga menyumbang kepada kulit yang sihat, kekurangannya boleh menyebabkan pelbagai masalah kulit seperti jerawat, bibir pecah, kekeringan, dan ruam.

Selain itu, kekurangan tahap zink dan besi yang rendah juga boleh menyebabkan bibir pecah-pecah, serta kekeringan, kerengsaan, dan keradangan di sisi mulut anda.

5) Reaksi kepada produk – Produk konvensional sama ada ubat gigi, lipstick atau lip balm ada yang mengandungi bahan yang boleh menyebabkan alergik kepada bibir anda.

Setiap orang mempunyai jenis kulit yang berbeza, kita memberi reaksi yang berbeza kepada produk yang sama.

Mungkin rakan anda sesuai pakai lipbalm jenis A tapi mungkin anda pakai lipbalm yang sama jadi kering pula.

Ada banyak jenis lipbalm dijual dipasaran. Ada yang menggunakan shea butter, koko butter, vitamin E, almond oil, beeswax dan macam-macam lagi.

Walaupun semua yang saya senaraikan ini adalah bahan natural, sesetengah orang mungkin alergik kepada bahan tersebut.

Contohnya jika anda alergik kepada kacang, elakkan lipbalm yang mengandungi sweet almond oil.

Lipbalm juga mengandungi macam-macam flavor atau pewangi. Pewangi dalam lipbalm biasanya selamat digunakan.

Namun bagi anda yang berkulit sensitif lebih baik gunakan lipbalm yang bebas pewangi.

Kewujudan bahan menthol yang berperisa ala mint sebenarnya tidak bagus dan menyebabkan kekeringan bibir.

Peppermint oil adalah salah satu pewangi yang menyebabkan masalah ini.

Kajian Dermatitis ini menguji kepekaan terhadap propolis, lanolin, minyak kelapa, minyak almond, pepeprimint oil dan vitamin E.

Dari semua perkara tersebut, peppermint oil terbukti menjadi penyebab paling mungkin pada pesakit dermatitis.

 

6) Makanan Pedas – Ramai orang kat Malaysia suka dengan makanan pedas. Orang kata boleh menambah selera, bertambah-tambah nasinya.

Namun begitu, makanan pedas adakalanya menyebabkan bibir kering dan sensitif mudah terasa sakit.

Jika anda mengalami bibir kering yang agak teruk, kurangkan pengambilan makanan pedas untuk tidak memburukkan lagi keadaan.

Atau cuba buat eksperimen sedikit, elakkan makanan pedas selama seminggu dan lihat adakah bibir anda semakin baik.

Jika ya, makanan pedas adalah penyebab bibir kering anda.

7) Mencabut lapisan bibir yang mengelupas – Hah! Bila bibir dah kering, macam geram je anda nak cabit bahagian lapisan bibir yang mengelupas tu kan?

Ini satu habit yang sepatutnya dielakkan. Lapisan bibir kering tidak boleh dicabut dengan tangan kerana akan menambahkan iritasi pada bibir.

Jadi lepas ni. jangan gatal tangan nak cabut lapisan kering tu ye. Sapu kan lipbalm je. Biar dia tercabut sendiri.

8) Habit menjilat bibir – Ni satu lagi habit yang perlu dielakkan. Mungkin tujuan anda untuk nampak seksi, yelah basah-basah gitu nampak macam pakai lip gloss.

Apa anda fikir seksi ke balik-balik nak jilat bibir tu?

Hmm.. Tapi ada jugak yang jilat sekadar untuk melembapkan bibir yang kering kan.

Tapi tabiat ini mengundang kekeringan dan menyebabkan bibir lebih mudah mengelupas.

Bila anda jilat bibir tu, udara yang kering akan menyerap air dipermukaan bibir anda. Jadi secara automatiknya bibir akan kering dengan cepat sebab air hilang kepersekitaran.

Kalau tak ada lipbalm, boleh je sapu madu ke, shea butter atau coconut oil, itu kan lebih baik. Dengan syarat jangan pula anda alergik kepadanya ye.

Okay, jadi panjang pula post ni kan. Itulah 8 Punca Bibir Kering Dan Mengelupas yang saya kongsikan hari ini.

Semoga ia bermanfaat dan lepas ni mana-mana punca yang boleh dielakkan, cuba elakkan ya. Saya harap post ni membantu.

Jika anda suka post ni, jangan lupa share dengan kawan-kawan anda ya.

Jumpa Lagi,
Alia