Nak Baca Dalam Bahasa Inggeris? Baca Di Sini: 10 NATURAL WAYS TO GET RID OF PIMPLES
Jerawat adalah keadaan kulit yang mempengaruhi orang dewasa terutama remaja yang mengalami perubahan hormon. Jerawat boleh menjadi buruk atau mungkin tidak. Post blog ini, saya akan berkongsi 10 tips bagaimana untuk menghilangkan jerawat dengan cepat dan berkesan.Anda suka tak apabila anda bangun pada waktu pagi dan jerawat baru tumbuh? Sekiranya ada yang suka, tidak tahulah saya. Tetapi pada pendapat saya, tiada siapa yang menyukai masalah kulit ini kerana ia bukan hanya kelihatan tidak menarik tetapi juga merendahkan keyakinan seseorang apabila di khalayak ramai.

Bintik hitam, bintik putih, cyst, nodul dan pustul adalah antara jenis-jenis jerawat yang ada. Jerawat ini terjadi apabila kelenjar sebum (minyak) menghasilkan sebum dengan tidak terkawal diikuti dengan kehadiran bakteria dan ini seterusnya menyebabkan terhasilnya jerawat.
Seperti anda, saya juga pernah mengalami jerawat dan menggoogle kalau-kalau ada cara hilangkan jerawat dengan cepat dan berkesan. Jika anda mengalaminya sekarang, jangan risau. Anda tidak berseorangan.
Saya pernah hidup dengan jerawat selama 12 tahun. (Mak aii, lamanya!) Ya, saya faham kenapa anda berada disini. Anda ingin mencari penyelesaian cara hilangkan jerawat dalam sehari dan kulit flawless seperti model iklan. Jika itu yang anda cari.. Maaf.. Saya tak ada rahsianya.
Tapi jika anda ingin mencari cara hilangkan jerawat dengan cepat, selamat, semulajadi, berkesan dan kekal berpanjangan. Teruskan membaca.
Mungkin cara menghilangkan jerawat yang saya amalkan ini sesuai dan mungkin juga tidak bagi anda. Tetapi saya harap ianya berkesan juga kepada anda. Jom kita lihat…
10 CARA HILANGKAN JERAWAT SECARA SEMULAJADI DAN SELAMAT
1) Elakkan makanan berikut – Saya mula bereksperimen, saya akan makan satu jenis makanan setiap minggu. Dan menunggu keesokan harinya untuk melihat sebarang perubahan yang berlaku. Ini hasil yang saya dapat:
- Kacang tanah – Saya makan semangkuk kacang tanah, tapi kulit saya tidak menunjukkan apa-apa kesan. Tak ada jerawat, cuma ia berminyak sedikit.
- Susu lembu – Jerawat timbul. Dan saya dapati kerana susu lembu mengandungi hormon yang menyebabkan jerawat
- Makanan pedas – Jerawat timbul. Makanan pedas menyebabkan inflamasi dan mempercepatkan pertumbuhan jerawat. Terutama jika anda berkulit sensitif.
- Cheese – Sama dengan susu lembu, menyebabkan jerawat. Tapi sebab saya suka cheese. Saya kurangkan makan bukan berhenti terus.
- Roti putih – Apabila saya makan sedikit, tiada kesan. Tetapi jerawat mula tumbuh jika saya makan banyak.
- Makanan proses – Burger, sosej, nuget, juga menyebabkan jerawat apabila saya makan.
- Potato chips – Menyebabkan jerawat juga jika dimakan dengan banyak.
- Makanan berminyak – Makanan bergoreng menyebabkan jerawat apabila dimakan selalu.
- Makanan manis – Terlampau banyak kadang-kadang menyebabkan jerawat. Makanan gula tinggi akan mengurangkan imunisasi badan melawan jangkitan, jerawat lebih mudah timbul.
Anda boleh mencuba cara ini, setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza. Mungkin ada makanan lain yang tidak sesuai untuk anda.

2) Keseimbangan hormon – Yang ini agak sukar dikawal kerana kita tidak nampak bagaimana hormon dikawal dalam badan. Hormon yang menyebabkan jerawat dikenali sebagai Androgen.
Jika anda tidak mengambil sebarang pil mencegah kehamilan atau ubat-ubatan yang mengganggu keseimbangan hormon dan inginkan keseimbangan hormon, anda cuma perlu melakukan tiga benda sahaja. Senaman, rehat atau tidur yang cukup dan yang paling penting jaga pemakanan anda. Ini akan membantu menyeimbangkan hormon tetapi akan mengambil masa sedikit.
3) Kurangkan stress – Zaman IT kini kita dihujani dengan pelbagai masalah. Masalah kewangan, masalah kekeluargaan, dan pelbagai masalah lain lagi. Apabila anda stress sistem imun badan anda akan lemah dan jangkitan akan berlaku. Anda akan mudah sakit. Bakteria juga akan mudah menyerang sistem kulit anda dan jerawat mudah tumbuh.

4) Kurangkan tekanan dan geseran pada kulit – Jangan sekali-kali skrub atau sental permukaan kulit anda dengan kuat. Ini akan menambah inflamasi pada kulit dan jerawat akan mudah tumbuh. Alatan seperti handphone yang selalu diletakkan ke telinga akan menyebabkan jerawat di bahagian telinga dan pipi manakala helmet pula boleh menyebabkan jerawat pada dahi.
5) Cari produk penjagaan kulit dan makeup yang sesuai – Sekarang agak sukar mencari skincare yang betul-betul sesuai dan berkesan. Cari skincare atau makeup yang mempunyai label hypoallergenic (mengurangkan kesan alergik) dan non-komedogenik kerana ia tidak menutup lubang pori-pori jadi kelenjar sebum tidak tersumbat.
Jika tersumbat, ia akan menyebabkan jerawat tumbuh. Kurangkan penggunaan makeup yang tebal kerana ia menyumbat liang pori. Jika anda ingin mengetahui cara mencari skincare natural yang berkesan, anda boleh dapatkan ebook cara membeli natural skincare secara percuma di sini.

6) Tukar ubatan dan pil pencegah kehamilan – Sesetengah ubat boleh menyebabkan jerawat dan begitu juga dengan pil pencegah kehamilan kerana ia mengganggu keseimbangan hormon. Mungkin anda boleh minta nasihat doktor untuk bertukar jenama yang tidak menyebabkan jerawat.
7) Berhenti merokok – Merokok tidak ada kebaikan sama sekali. Bukan sahaja menyebabkan jerawat malah menyebabkan penyakit lain yang merbahaya. Mungkin ada yang tidak berjerawat walaupun merokok. Tapi merokok menurunkan sistem imun anda dan ini mudah mendapat jangkitan. Mungkin cara ini berkesan buat anda.
8) Minum 8 gelas air sehari – Air dapat membantu menyingkirkan toksin. Sistem dalaman yang bersih dapat mengurangkan jerawat dan seterusnya mendapat kulit yang lebih sihat.
9) Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran – Buah dan sayur sangat baik kerana ia kaya dengan sumber vitamin dan mineral untuk tubuh badan kita. Selain itu ia membantu proses detoks menyingkirkan toksin dalam badan kerana kandungan fiber yang tinggi. Bukan setakat jerawat hilang, malah anda akan kelihatan awet muda.

10) Gunakan rawatan semulajadi – Antara rawatan semulajadi popular untuk jerawat ialah:
- Aloe vera – Ambil gel aloe vera dan sau pada jerawat
- Baking soda – Tambah air dan jadikan seperti pes dan sapu pada jerawat
- Essential Oil – Tea tree sangat berkesan untuk jerawat. Larutkan 2 titis tea tree dan 2 titis lavender kedalam 10 ml minyak argan
- Madu dan yogurt – Campur 1 sudu madu dan 2 sudu yogurt. Sapukan seperti mask
- Putih telur – Pakai putih telur pada kulit wajah dan biarkan seketika. Kulit telur menyerap minyak berlebihan pada kulit dan mengurangkan jerawat.

Itula 10 cara hilangkan jerawat dengan cepat, berkesan, selamat dan semulajadi. Kesan bagi setiap orang adalah berbeza-beza. Ada yang seawal 7 hari dan ada juga yang mengambil masa sehingga sebulan. Jika artikel ini bermanfaat, jangan lupa share ya. Saya harap ada yang berkesan untuk anda ya. Selamat mencuba!
XoXo,
Alia Mohammad.

Tengah mencari natural skincare untuk masalah kulit berminyak dan berjerawat? Saya akan dedahkan rahsia bagaimana mencari natural skincare yang berkesan hanya dengan melihat label skincare. Dapatkan EBOOK ” PANDUAN MEMBELI NATURAL SKINCARE ” secara PERCUMA sekarang.
